KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan antara cadangan yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Kertas Putih Kesihatan itu kini dalam peringkat akhir rundingan bersama pemegang taruh dan dijangka dapat dibawa ke Parlimen pada Jun tahun ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) merangka pelan kesihatan selama 15 tahun dan ia bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan kepada rakyat adalah murah dan mencapai tahap yang optimum.

"Pertamanya kita mahu memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik daripada segi fasiliti, contohnya kita mempunyai klinik-klinik kesihatan yang daif terutamanya di Sabah dan Sarawak jadi itu perlu diperbaiki dan diperbetulkan.

"Selain itu, isu untuk menangani kesesakan juga turut diberikan perhatian yang mana ini termasuk penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan digital," katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.

Kedua, Dr Zaliha berkata, keutamaan turut akan diberikan kepada promosi pemerkasaan penjagaan kesihatan primer yang mana sasarannya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan kesihatan.

"Kita mahu orang ramai menjadi sihat sekaligus akan mengurangkan orang ramai pergi ke hospital atau klinik. Ini penting yang kadang-kala kita tertinggal malah sekarang pun kita banyak laksanakan program tentang kesedaran kesihatan supaya rakyat tahu dan jelas kenapa perlu sihat dan elakkan penyakit.

"Dalam pada itu, melalui kertas putih itu juga terkandung apa yang kita panggil sebagai 'Perbelanjaan Sistem Kesihatan', kita nak cuba dapatkan bajet terbaik untuk memastikan perkhidmatan kita berjalan dengan lancar namun kita juga mengambil maklum mengenai kekangan sistem kewangan negara.

"Kita juga perlu melihat kepada insurans kesihatan, sebagai contoh saya yakin ini juga perkara yang kita boleh pertimbangkan adalah 'Kad Sihat' yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kad Sihat juga bagus dan boleh bawakan kerjasama daripada pihak swasta untuk sama-sama mainkan peranan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kita sampai kepada rakyat," ujarnya.

Dr Zaliha turut mengesahkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Kesihatan akan diangkat bagi memastikan setiap perancangan dalam kertas putih kesihatan dilaksanakan sepanjang tempoh 15 tahun.

"Ini merangkumi isu sedia ada yang perlu kita baiki kemudian ke peringkat pertengahan dan jangka masa panjang," jelasnya.